Monday, 1 December 2014
5 Bangunan Yang Paling Menyeramkan Di Malaysia!!!
Lima Bangunan Di Malaysia Yang Menyeramkan Di Malaysia, adakah anda duduk berdekatan tapi anda tidak ketahuinya...
1. Apartment Riviera II, Cheras
Sekitar akhir tahun 1990-an, apartment ini menempatkan pelajar-pelajar asrama beberapa buah
universiti dan juga orang ramai, termasuk warga asing.
Ketika para pelajar baru ditempatkan, tiada apa yang tidak kena dengan bangunan ini. Kegiatan
pelajar berjalan rancak meliputi aktiviti keagamaan, pembelajaran dan kecergasan. Bangunan
diselenggarakan dengan baik, malah ramai pelajar sering menggunakan kolam renang di bahagian
tengah apartment untuk mandi-manda.
Tahun demi tahun, keadaan mula berubah. Bangunan apartment yang dulunya ceria, menjadi
semakin suram. Khabar angin bertiup kencang, bahawa bangunan ini menjadi tempat para pelajar
berduaan dan melakukan aktiviti maksiat. Sejak semua ini berlaku, semakin banyak kejadian mistik
mula berlaku di apartment tersebut.
Menaiki atau menuruni bangunan menggunakan lif menjadi sesuatu yang menakutkan, terutamanya
di waktu malam. Kadangkala butang menyala sendiri lantas lif berhenti di tingkat-tingkat tak
berpenghuni. Kadangkala muncul pula entiti yang tidak diingini sebaik saja pintu lif terbuka di
tingkat-tingkat yang tidak ditekan oleh pelajar. Menaiki tangga pula bakal terserempak dengan
entiti lain. Kebanyakan hanya berharap nasib mereka baik tidak bertemu dengan entiti setiap kali
menggunakan lif.
Dikhabarkan, banyak kejadian mistik berlaku di apartment ini, sehingga jumlah penghuni kian
berkurangan. Selenggaraan bangunan semakin diabaikan, air dalam kolam renang menjadi
semakin keruh dan perabot semakin rosak. Kejadian histeria dan rasukan berlaku dengan kerap,
sehinggalah pada suatu hari, salah seorang pelajar perempuan dikatakan terjun dari tingkat lima
kerana mendengar suara aneh yang memintanya berbuat demikian. Kecederaan pelajar tersebut
agak serius, sehingga memaksa pihak pengurusan mengosongkan bangunan tersebut kira-kira
enam tahun lalu.
Kini bangunan Apartment Riviera II, Taman Kencana, Cheras hanya tinggal bangunan, tiada
siapa pun berani menghuninya. Ia semakin suram dan menyeramkan walaupun dilihat dari jauh
pada waktu siang. Hanya kumpulan penyiasat paranormal tempatan yang melawat sekali-sekala
menceritakan perjalanan pengalaman seram mereka sewaktu di sana.
2. Rumah Deposit RM 50 Seksyen 2, Shah Alam
Rumah sewa ini sering diperkatakan, terutamanya sewaktu penulis masih belajar di sebuah
universiti di Shah Alam. Ramai yang menganggap ia sekadar legenda urban, dan ada yang
mengatakan rumah tersebut memang wujud. Khabarnya, penyewa yang menyewa di rumah
tersebut akan diganggu dan biasanya akan berpindah keluar selepas hanya sehari atau dua hari.
Walaupun terdapat pelbagai cerita mengenai rumah tersebut, masih ramai yang cuba hendak
menyewa. Mungkin kerana depositnya hanya RM 50? Tuan rumah dikatakan sering menolak
sekiranya ada yang hendak menyewa, tetapi kebanyakannya tetap berkeras mahu mencuba.
Biasanya jumlah penyewa yang ramai menyebabkan ada yang berani menanggung risiko. Kalau
ramai, apa yang hendak ditakutkan bukan?
Namun begitu, percubaan mereka berakhir mengecewakan. Pernah satu kumpulan tabligh cuba
menyewa rumah tersebut. Pada hari pertama, di waktu maghrib, mereka duduk berkeliling dan
berdoa, secara tiba-tiba satu kepala manusia jatuh di tengah-tengah mereka. Kesemua anggota
tabligh terus lari keluar dari rumah tersebut dan tidak pulang lagi.
Cerita yang paling terkenal tentang rumah ini ialah cerita salah seorang penyewa yang pada masa
itu berjumlah sepuluh orang. Dua orang dari mereka telah meratakan sedikit busut yang betul-betul
berada di belakang pintu dapur. Akibatnya, mereka mula diganggu. Ada antara mereka yang kaki
direntap sewaktu sedang tidur sehingga jatuh katil.
Ada pula yang terjumpa batu nesan di atas katil, serta diganggu suara perempuan ketawa mengilai.
Kisah penyewa ini berakhir malang apabila diganggu sehingga dua orang yang meratakan busut
telah meninggal dunia, seorang akibat kemalangan semasa lari keluar dari rumah tersebut, dan
seorang lagi jatuh sakit selepas itu.
Apa sejarah rumah ini? Khabarnya ia ialah rumah seorang pengamal sihir. Satu ketika dahulu,
keluarga pengamal sihir ini dijumpai mati dibunuh di rumah tersebut.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar rumah tersebut, yang dikatakan
berdekatan dengan sebuah taman tema air yang terletak di Seksyen 3, Shah Alam.
3. Kemayan City, Johor Bahru
Sebenarnya bangunan Kemayan City, bolehlah dikatakan sebagai satu projek ‘gajah putih’. Ia pada
asalnya hendak dibina sebagai salah satu pusat membeli belah di Johor Bahru sekitar 90’an, namun
pembinaannya tergendala apabila berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun 1998.
Selepas ekonomi kembali pulih, bangunan itu terbiar begitu saja. Ada yang mengatakan ia menjadi
tempat penagih dadah melepaskan gian, dan ada juga pasangan yang mengambil kesempatan
duduk berduaan di situ. Khabarnya, ada juga penagih dikatakan cuba mencuri kabel elektrik di situ,
malang sekali mereka terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia.
Sebelum ini tersebar juga cerita mengenai keluarga dari Singapura yang lalu di hadapan bangunan
itu melihatnya begitu meriah, dengan lampu warna warni terpasang dan dipenuhi begitu ramai
pengunjung. Keluarga ini telah masuk ke bangunan itu, membeli belah dan makan.
Setelah beredar, mereka singgah di rumah saudara dan menceritakan pengalaman membeli belah
di situ. Kemudian barulah mereka tahu yang Kemayan City hanyalah bangunan kosong yang
terbengkalai. Barang yang telah mereka beli di situ hilang begitu saja manakala baki wang yang
didapati bertukar menjadi daun kering.
Kata orang arif, ia ialah kerja syaitan yang mahu melekakan dan menyesatkan manusia. Mungkin
ada benarnya.
4. Rumah Banglo Jalan Turi, Bangsar
Sebelum dirobohkan
Gambar terkini( Setelah dirobohkan)
Rumah ini pernah mendapat liputan meluas sekitar tahun 1992, apabila dua orang kanak-kanak
lelaki dan pembantu rumah (kesemuanya warga asing) yang menghuni rumah itu telah dibunuh oleh
seorang pengawal keselamatan. Pembunuhan mereka dikatakan dilaksanakan secara kejam, dan
mayat mereka dicampak dan disembunyikan dalam lubang najis di belakang rumah.
Akibat perbuatannya, pengawal keselamatan itu telah dijatuhkan dan menjalani hukuman mati.
Namun cerita itu tidak berakhir begitu saja.
Rumah banglo itu terbiar tidak berpenghuni apabila pemiliknya pulang ke negara asal. Keadaan
rumah tersebut menjadi semakin daif kerana tiada siapa berani tinggal di situ. Perabot telah musnah
dan keadaan rumah semakin uzur. Biarpun begitu, acap kali diberitakan orang ramai yang melawat
rumah itu atau lalu lalang di bahagian hadapan terlihat bayangan dua orang budak dan juga wanita
di situ, terutamanya waktu senja.
Kini, rumah itu telah dirobohkan sepenuhnya. Oleh siapa, tidak pula diketahui. Yang tinggal hanya
serpihan rumah saja. Namun bila melihat runtuhan rumah saja pun, seseorang itu masih boleh
berasa seram.
5. Penjara Pudu
Antara yang tempat yang terkenal sebagai tempat yang menyeramkan, ialah Penjara Pudu yang
terletak di Jalan Hang Tuah. Bangunan penjara itu menempatkan bukan saja banduan biasa malah
banduan akhir.
Antara cerita mengenai Penjara Pudu ialah mengenai seorang detektif yang sedang menyoal siasat
seorang banduan wanita sekitar tahun 60’an. Sewaktu sedang menyoal siasat secara tiba-tiba
kepala wanita tadi terjatuh dan bergolek ke pintu bilik.
Detektif tersebut telah lari keluar dan mendapati sebenarnya dia tidak menyoal siasat sesiapa pun.
Banduan wanita tersebut sebenarnya tidak wujud di penjara itu.
Kini Penjara Pudu telah diruntuhkan sepenuhnya dan proses pembinaan bangunan baru sedang
dijalankan. Khabarnya sebuah pusat membeli-belah akan dibina di situ.
Labels:
Misteri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment